Thursday 7 December 2017

WAJIB anda Tahu..Apa dan bagaimana Pembahagian FARAID..Elak Perpecahan



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad , ahli keluarga Baginda , sahabat Baginda  serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda .
Nabi  bersabda:
أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا ، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ
Maksudnya: “Bahagikanlah harta perwarisan kepada yang berhak dalam kalangan ahli waris. Sekiranya ada yang berbaki maka yang lelaki dalam kalangan kamulah yang lebih berhak.”
Riwayat al-Bukhari (6351) dan Muslim (1615)

Kedudukan anak lelaki akan mendapat dua bahagian sedangkan anak perempuan mendapat satu bahagian. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
يُوصِيكُمُ اللَّهُ فِي أَوْلَادِكُمْ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ
Maksudnya: Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. 
                                                                                    (Surah al-Nisa: 11)


MAKSUD FARAID DARI SEGI BAHASA 

Faraid mempunyai maksud yang banyak. Antaranya ialah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan. Menurut istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia sama ada beliau meninggalkan wasiat atau tidak sebelum kematiannya. Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli warisnya (seperti  anak, isteri, suami, ibu, dll), menurut hukum Islam. Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (zakat, nazar, dll) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak (tidak melebihi 1/3 dari jumlah harta). Bentuk harta yang boleh dibahagikan secara Faraid ialah:
  1. Tanah
  2. Bangunan (rumah).
  3. Barang kemas (emas, perak dll).
  4. Insurans dan Wang tunai (sama ada dilaburkan atau tidak).
  5. Binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, kerbau dll.

CARA PENGAMBILAN HARTA PUSAKA
Jalan untuk melakukan pembahagian pusaka ialah dengan terlebih dahulu meneliti siapakah di antara waris yang berhak menerima pusaka dengan jalan Ashabul-Furud, kemudian dicari siapakah yang Mahjud, barulah bakinya diberikan kepada yang berhak menerima Asabah.

1. Ashabul-Furud

Golongan ini mengambil pusaka menurut bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu sama ada 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6 atau 1/8. Mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.

2. Asabah

Merupakan golongan yang akan terima baki setelah semua golongan (1) mendapat  bahagian golongan asabah.  Terdapat 3 jenis asabah iaitu:

(a)  Asabah Binafsih
(b)  Asabah Bil Ghoir
(c)  Asabah Maal Ghoir.

ASABAH BINAFSIH

Pembahagian pusaka dengan jalan menghabisi semua harta, atau mengambil semua sisa untuk sekelian orang lelaki, tidak bersebab atau beserta orang lain. Mereka terdiri daripada 12 orang lelaki iaitu bapa, datuk, anak lelaki, cucu lelaki anak lelaki, saudara lelaki kandung,  saudara lelaki sebapa, anak lelaki saudara lelaki kandung, anak lelaki saudara lelaki sebapa, bapa saudara kandung, bapa saudara sebapa, anak lelaki bapa sudara kandung dan anak lelaki bapa saudara sebapa.

ASABAH BIL GHOIR

Pembahagian pusaka dengan jalan menghabiskan semua harta, atau pengambilan  semua baki untuk semua perempuan dengan sebab adanya orang lelaki lain. Terdiri daripada 4 orang iaitu: anak perempuan atau lelaki, cucu perempuan atau lelaki, saudara kandung perempuan atau lelaki, saudara sebapa atau lelaki perempuan.

ASABAH MAAL GHOIR

Pembahagian pusaka dengan jalan menghabisi semua harta, atau mengambil semua sisa untuk sekelian orang perempuan sebab beserta orang perempuan lain. Terdiri daripada 2 orang perempuan iaitu: saudara perempuan kandung  dan saudara perempuan sebapa (berkongsi dengan anak atau cucu perempuan).

3. DHAWIL-ARHAM

Golongan ini akan menggantikan golongan (1) dan (2) setelah kedua-duanya tiada kecuali suami atau isteri tidak menghalang golongan ini mengambil bahagian harta. Tetapi biasanya golongan ini akan terhalang menerima harta. Keadaan ini disebut hijab iaitu dinding yang menjadi penghalang seseorang daripada ahli waris untuk menerima pusaka kerana masih ada ahli waris yang masih dekat hubungan kekeluargaannya dengan simati.  Terdapat 4 golongan Dhawil-Arham (masih ada hubungan kerabat) iaitu: golongan datuk dan nenek, golongan cucu dan cicit  (anak dari cucu), golongan anak saudara dari saudara perempuan dan golongan bapa saudara atau emak saudara atau saudara lelaki atau perempuan ibu. Manakala hijab yang telah disebutkan tadi terdiri daripada 2 jenis iaitu:Hijab Nuqshon dan Hijab Hirman.

(a) HIJAB NUQSHON
Terhalang dengan mengurangi pembahagian ahli waris dari menerima pembahagian  Ashabul-Furud yang lebih banyak menjadi lebih sedikit, kerana masih ada ahli waris  lain yang bersama-samanya.  Seperti suami dari menerima setengah menjadi seperempat kerana ada anak atau cucu.

(b) HIJAB HIRMAN
Terhalang dengan tidak menerima pembahagian pusaka sama sekali kerana masih terdapat ahli waris yang lebih dekat hubungannya dengan yang mati yang lebih berhak untuk menerima harta pusaka. Misalnya saudara lelaki sebapa terhalang kerana adanya saudara lelaki kandung dan datuk terhalang sebab adanya bapa.

Hukum Berkenaan Faraid
Pembahagian harta pusaka menurut Islam selepas berlakunya kematian seseorang muslim, maka wujudlah hak-hak tertentu terhadap harta yang ditinggalkan. Hak-hak tersebut telahpun ditentukan sendiri oleh Allah secara khusus di bawah hukum faraid. Pembahagian faraid kepada yang berhak hukumnya WAJIB untuk ditunaikan dan FARDU KIFAYAH kepada umat islam (Khususnya waris-waris) untuk menyelesaikannya.

Apakah Kesan Jika Tidak Melaksanakan Faraid?
Sekiranya umat islam mengabaikan pembahagian harta pusaka dengan menggunakan sistem faraid ini dikhuatiri akan berlakunya

                1. Memakan Harta Anak Yatim.
                2. Memakan Harta Saudara-Mara.
                3. Memakan Harta Baitulmal.

Tuntutan Belajar Ilmu Faraid Dalil

Rasullulah s.a.w (maksudnya):
Pelajarilah Ilmu Faraid dan Ajarkanlah kepada Manusia, kerana ia adalah separuh dari ilmu dan akan dilupakan. Ia juga adalah ilmu yang pertama yang akan dicabut dari umatku.
- Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah.

Sabda Rasullulah s.a.w:

Pelajarilah Ilmu Faraid dan Ajarkanlah kepada orang lain, Sesungguhnya aku akan mati dan ilmu ini juga akan mati dan akan berlaku kacau bilau. Sehingga ada dua orang bertelingkah kerana harta pusaka, mereka tidak akan dapat menemui sesiapa yang boleh menyelesaikan masalah mereka.- Hadis riwayat al-Hakim daripada Ibnu Mas'ud.


Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka) anak-anakmu. Iaitu, bahagian seorang anak laki-laki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih daripada dua, maka bagi mereka dua per tiga daripada harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang  sahaja, maka dia memperolehi separuh harta. Dan  untuk dua orang ibu bapa, bagi masing-masingnya satu perenam daripada harta yang ditinggalkan jika orang yang  meninggal  itu mempunyai anak dan dia diwarisi oleh ibu bapanya sahaja, maka ibunya mendapat sepertiga; jika yang meninggal itu mempunyai  beberapa orang saudara, maka ibunya mendapat seperenam. (Pembahagian-pembahagian tersebut di atas sudah dipenuhi wasiat yang dibuatnya atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak  mengetahui siapa antara mereka yang lebih dekat (banyak) manafaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

- Surah An-Nisa :11.


Kadar Asas Pembahagian Faraid:

Suami :½ jika si mati (isteri) dan tidak mempunyai anak lelaki atau perempuan atau cucu dan kebawah, ¼ jika si mati (isteri) mempunyai anak lelaki atau perempuan atau cucu dan kebawah.

Isteri : ¼ jika si mati (suami) dan tidak mempunyai anak lelaki atau perempuan atau cucu dan kebawah, 1/8 jika si mati (isteri) mempunyai anak lelaki atau perempuan atau cucu dan kebawah.

Bapa : 1/6 jika si mati mempunyai anak lelaki atau perempuan atau cucu dan kebawah, 1/6 + Asobah jika si mati tidak mempunyai anak lelaki atau perempuan.

Ibu : 1/6 jika si mati mempunyai anak atau cucu perempuan daripada anak lelaki kebawah atau mempunyai beberapa orang saudara (lelaki/perempuan), 1/3 dari keseluruhan harta jika simati mempunyai seorang saudara lelaki atau perempuan sahaja dan tiada anak kebawah, 1/3 dari baki harta jika simati meninggalkan salah seorang suami atau isteri dan bapa tanpa waris lain.

Anak perempuan : ½ jika seorang, 2/3 jika dua orang atau lebih dibahagi sama rata, Asabah Bilghairi jika simati mempunyai anak lelaki atau perempuan 2:1.

Anak lelaki : 100% daripada baki (Asabah) sekiranya seorang, dikongsi sama rata daripada baki(Asabah) sekiranya lebih daripada seorang, Asabah Bilghairi jika si mati mempunyai anak lelaki atau perempuan 2:1.


0 comments:

Post a Comment